Melaksanakan misi ini , ianya tidaklah berlaku secara spontan melainkan beberapa strategi dan langkah bijak telah diambil oleh Rasulullah saw. ke arah pembentukan Daulah Islamiyyah.
Baiatul Aqabah ( Baiatul Kubra ) adalah merupakan detik akhir dari perancangan besar Nabi saw untuk membina kedaulatan Islam setelah 12 tahun baginda saw. bertungkus lumus membentuk Syakhsiyyah dan Aqidah ummah agar mereka kembali mentauhidkan Allah dan memakmurkan muka bumi dengan sifat mahmudah .
Kandungan baiah itu sebagaimana yang diriwayatkan dari Jabir Rha. :
` diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah al Ansori rha. “ kami bertanya : “ wahai Rasulullah , di atas dasar apakah kami berbaiah ? Sabda Rasulullah saw : “ di atas dasar mesti dengar dan taat samaada dimasa cergas atau malas , di atas dasar bernafqah dimasa susah atau senang , diatas dasar menyuruh kepada kebaikan dan menegah kemungkaran . Diatas dasar bangun kerana menegakkan agama Allah swt dengan tidak memperduli celaan orang mencela dan diatas dasar memberi pertolongan kepadaku apabila aku tiba kepadamu , kamu pertahankan aku sebagaimana kamu mempertahankan diri kamu dan anak – anak kamu , jika kamu melakukan itu nescaya diberikan untuk kamu syurga .”
* Baiah yang dianggotai oleh 73 orang lelaki dan 2 orang perempuan ( Nusaibah bt Kaab dan Asma’ bt Amru ) itu adalah merupakan tunas dan benih subur untuk Islam bertapak di Madinah ( Yathrib ) . Setelah selesai mereka berbaiah , satu persatu berjabat tangan dengan Rasulullah saw maka Rasul saw melantik 12 orang naqib mewakili kaum mereka.
Bermulanya Hijratul Kubra .
Setelah menyaksikan kesempitan ruang untuk baginda menegakkan Islam dibumi Makkah sebagai sebuah Negara berperlembagaan dan berdaulat , ditambah pula dengan tekanan dan ancaman yang kian berlipat ganda dikenakan ke atas Islam dan perjuangannya , maka nabi saw mengizinkan para sahabatnya berhijrah ( keluar ) dari bumi Makkah menuju Yathrib setelah menerima baiah dari penduduk Yathrib.
` maka Nabi saw. bersabda : Sesungguhnya aku telah diberitahu akan negeri hijrah kamu , iaitu Yathrib . Maka barangsiapa yang mahu keluar ( hijrah ) maka hijrahlah kepadanya ( Yathrib ) .’
Pensyariatan hijrah ini juga boleh dilihat bagaimana Allah menegaskannya di dalam al Quran:
72. Sesungguhnya orang-orang Yang beriman dan berhijrah serta berjihad Dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) Yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam Yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan Pembela antara satu Dengan Yang lain.
dan orang-orang Yang beriman Yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu Dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum Yang ada perjanjian setia di antara kamu Dengan mereka. dan (ingatlah) Allah Maha melihat akan apa Yang kamu lakukan. Surah al Anfaal : Ayat 72
Hijrah bukan Takut Melarikan Diri .
Rasul saw. dan para sahabat rhm. melakukan hijrah adalah untuk mendaulatkan Syariat Ilahi , justeru itu tidak timbul soal takut dan melarikan diri . Sebaliknya hijrah adalah perintah dari Allah yang diwahyukan kepada Nabi saw.
Sabda Rasulullah saw.
` Aku bermimpi bahawa aku berhijrah ke negeri yang banyak pokok tamar , aku menyangka Yamamah atau Hajar , tiba – tiba tempat itu ialah Yathrib.
Lihat pula bagaimana Umar al Khattab Rha berhijrah . Kenyataannya sangat pasti bahawa ia bukan hijrah seorang yang penakut yang melarikan diri .
Umar berkata :
` Sesiapa yang mahu Ibunya kehilangan anak , meyatimkan anaknya dan menjandakan isterinya , maka silalah berjumpa dengan ku di belakang lembah ini .
Hijrah adalah Perjuangan .
Islam adalah agama yang menuntut supaya syariatnya di daulatkan dan segala hukum hakamnya dikuatkuasakan sebagai satu perundangan yang mengawal kehidupan manusia di atas muka bumi.
Al Imamul Ghazali pernah berkata :
` Dunia adalah ladang akhirat dan tidaklah sempurna agama tanpa dunia sementara kerajaan dan agama dua perkara yang berkembar . Agama adalah tapak ( asal ) dan kedaulatan ( sultan ) adalah pengawal . Suatu yang tiada tapak ( asal ) baginya maka pasti ia runtuh ( binasa ) dan suatu yang tiada pengawal pasti ia hilang ( sia – sia ) . malah tidak sempurna kerajaan dan pegawainya kecuali dengan kedaulatan .
Kedaulatan yang dimaksudkan adalah untuk memastikan manusia hidup diatur urus berasaskan pedoman wahyu ilahi . Firman Allah swt .
25. Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami Dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat Yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab suci dan keterangan Yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan Kami telah menciptakan besi Dengan keadaannya mengandungi kekuatan Yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia.(dijadikan besi Dengan keadaan Yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu Dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang Yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan ugama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
Bertolak dari kesedaran dan tanggungjawab itulah , maka nabi saw dan para sahabat memperjuangkan kedaulatan Islam meskipun mereka terpaksa meninggalkan tanahair tercinta. Sabda Rasulullah saw. :
` Sesiapa yang keluar ( hijrah ) dari rumahnya sebagai seorang pejuang di jalan Allah Azza wa jalla kemudian ia berkata ( dengan tiga jarinya ibu jari , telunjuk dan jari tengah dihimpunkan ) mana mana mereka yang berjuang lalu ia jatuh tersungkur dari kenderaannya dan mati maka tetaplah pahalanya disisi Allah atau ia disengat oleh binatang lalu mati maka telah tetaplah pahalanya di sisi Allah atau mati biasa maka sesungguhnya tetaplah pahalanya di sisi Allah Azza wa Jalla .
Firman Allah swt :
100. Dan sesiapa Yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah Yang banyak dan rezeki Yang makmur; dan sesiapa Yang keluar dari rumahnya Dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka Sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Surah an Nisaa’ .Ayat : 100
Tegasnya , perjuangan Rasulullah saw untuk meletakkan Islam mengatasi segala bentuk fahaman ( ideology atau berhala ) dan memertabatkan ummahnya dapat disingkap melalui peristiwa hijrah ini. Justeru itu , kalendar baru bagi ummat Muhammad saw. dikira dari tarikh mula berlakunya hijrah .
Kalendar tersebut merupakan bermulanya diary baru , bagi ummat Islam muncul sebagai ummat yang berdaulat dan menjadi kuasa baru buat ummat manusia seluruhnya kearah meletakkan mereka sebagai ummat yang bebas dari perhambaan sesama hamba dan sekaligus memerdekakan manusia dari belenggu fahaman dan anutan agama ciptaan manusia serta fatamorgana dunia yang penuh tipu daya.
Agenda Menegakkan Negara Islam .
Menegakkan Negara Islam sebagai Baldatun Toiyyibatun wa Rabbun Ghafur dan mendaulatkan syariat Ilahi adalah menjadi asas utama hijrah Rasulullah saw ke Madinah.
Semata – mata untuk mendirikan solat , puasa , haji dan zakat tidak memerlukan nabi saw. berhijrah ke Madinah dan barangkali Makkah adalah tempat yang lebih sesuai malah nabi tidak mendapat tentangan hebat dari kuffar Quraisy andainya perjuangan baginda sekadar untuk solat dan mengerjakan haji .
Baginda ditentang dan diperangi apabila Baginda saw berjuang untuk mendaulatkan syariat Ilahi menjadikan Islam sebagai cara atau pedoman dalam segala aspek hidup ummat manusia. Dari sekecil kecil perkara seperti memakai sepatu ke tandas hingga kepada sebesar – besar perkara seperti memimpin dan memerintah Negara , diajar oleh baginda saw agar ianya dilaksana berasaskan manhaj islami dengan sumber asalnya wahyu Ilahi dan sunnah baginda saw. sendiri.
Hijrah adalah Pengorbanan
Sebuah perjuangan pastinya tidak lepas dari pengorbanan sebagai harga perjuangan tersebut. Semakin penting perjuangan itu , semakin tinggi nilai pengorbanan yang mesti dibayar oleh para pejuangnya.
Berjuang menegakkan negara Islam dan mendaulat syariat Ilahi adalah merupakan sepenting – penting urusan demi meletakkan Agama Allah tinggi mengatasi segalanya dan serentak itu memartabatkan ummahnya agar tidak lagi menjadi ummat belasahan pula hina dimata dunia.
Pengorbanan Harta .
Peristiwa Suhaib ar Ruumi yang dihalang oleh kuffar Musyrikin dalam perjalanan beliau hijrah ke Madinah . Suhaib terpaksa meninggalkan seluruh harta kekayaan yang diperolehi sewaktu mengurus perniagaannya di Makkah sebagai` passport ’ untuk menjayakan hijrah beliau. ( setelah beliau diletakkan syarat bahawa beliau hanya dibenarkan hijrah selepaskan meninggalkan seluruh hartanya.)
Harta telah tiada nilainya lagi bagi Suhaib berbanding kepentingan hijrah kearah mendaulatkan syariat Allah swt.di muka bumi ini. Demi hijrah yang bermisikan kedaulatan Islam itu , Suhaib memilih untuk tidak bersama hartanya asal sahaja beliau dibebaskan pergi ke Madinah melepasi halangan atau sekatan kuffar Musyrikin .
Mendengar berita pengorbanan Suhaib ar Ruumi rha tersebut , baginda Rasul saw. berkata :
“ beruntunglah Suhaib , beruntunglah Suhaib “
Pengorbanan yang dilakukan oleh Suhaib ar Ruumi bukan sahaja mendapat pengiktirafan dari Rasulullah saw. bahkan turut mendapat sanjungan dari Allah swt. Dengan Firman Nya :
207. Dan di antara manusia ada Yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.
Surah al Baqarah .Ayat : 207
Pengorbanan Perasaan .
Pengalaman yang dialami oleh Abu Salamah Rha melakarkan segalanya , bagaimana perasaan terpaksa diketepikan jua demi mengharapkan agar hijrah berjaya dilakukan .
Sebagaimana umum mengetahui bahawa hijrah berhadapan dengan sekatan ( road block ) dan halangan oleh pihak kuffar guna menghalang dan menggagalkan hijraturrasul saw.
Antara mereka yang berhadapan dengan sekatan kuffar itu ialah Abu Salamah dan isterinya Ummu Salamah Radiyallahu ‘anhuma . Turut serta dalam sekatan itu ialah anggota keluarga Abu Salamah dan keluarga Isterinya .
Keluarga isterinya mengambil isterinya ( ummu Salamah Rha ) dan keluarganya mengambil anaknya . Namun Abu Salamah tetap meneruskan hijrah ke Madinah tanpa anak dan Isterinya.
Sehinggalah beberapa ketika setelah pemergiaan Abu Salamah , Ummu Salamah hanya menangis pagi dan petang dan akhirnya menimbulkan rasa simpati dari sebahagian anggota keluarganya dan Umma Salamah dan anaknya dibenarkan kembali ke pangkuan suaminya di Madinah . Ummu Salamah berhijrah bersama anaknya meredah padang pasir sejarak 500 kilometer .
Ummu Salamah dibantu oleh Uthman bin Talhah bin Abi Talhah sejurus beliau tiba bersama anaknya di Tan`im yang membawanya sampai ke Quba’ .
Pengorbanan perasaan yang dilalui oleh para sahabat ini turut dilihat melalui doa baginda saw. bagi menenangkan perasaan para sahabat yang amat merindui kampung halaman dan ahli keluarga mereka .
“ Ya Allah ! campakkan rasa kasih kami kepada Madinah sebagaimana kami kasih kepada Makkah atau lebih kasih daripadanya. “
Hijrah adalah Penyatuan
Hijraturrasul saw. turut mencatat sejarah bagaimana Baginda saw. mempersaudarakan golongan Ansar ( Madinah ) dengan golongan Muhajirin ( Makkah ) serta berjaya menamatkan persengketaan kaum antara Aus dan Khazraj yang berselisih sejak sekian lama .
Hijrah membuka lembaran baru yang menyatukan mereka sedang penyatuan itu pula menjanjikan kekuatan dan kehebatan kepada mereka serta mereka mula digeruni oleh lawan. Malah persaudaraan erat mereka menjadikan mereka mendapat keampunan dan kemuliaan disisi Allah swt . Firman Allah swt :
74. Dan orang-orang Yang beriman dan berhijrah ( Muhajirin ) serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) Yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam Yang berhijrah itu), merekalah orang-orang Yang beriman Dengan sebenar-benarnya. mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia Yang mulia.
Surah al Anfaal .Ayat : 74
Nilai perpaduan yang diterap dan dididik oleh Rasulullah saw sangat berkesan dan menyentuh perasaan . Lihat sahaja bagaimana keperihatinan Nabi saw terhadap nilai persahabatan dan perpaduan ini dalam peristiwa gotong royong membina Masjid an Nabawi di atas tapak tanah tempat baginda berhenti dan turun dari unta dalam peristiwa hijrah.
“ Ya Allah , Tiada kehidupan sebenar kecuali kehidupan di akhirat , maka ampunilah Ansar dan Muhajirin . ”
Kemuliaan dan kehebatan perpaduan mereka sebenar dicerna dari nilai persaudaraan dan persahabatan yang tiada taranya. Saksikan bagaimana mereka ( Ansar dan Muhajirin ) mempamerkan nilai ukhuwwah mereka dalam membentuk perpaduan kental yang tentunya menjadi syarat kekuatan ummatini .
“ Tatkala mereka sampai ke Madinah , Rasulullah saw. telah mempersaudarakan diantara Abdur Rahman bin Auf dengan Saad bin Rabi’ . Saad telah berkata kepada Abdur Rahman bin Auf : “ Saya adalah orang yang paling kaya dikalangan Ansar , marilah kita bahagi dua hartaku dan saya mempunyai dua isteri , maka lihatlah yang mana satu kamu suka agar aku ceraikan dia lalu apabila selesai iddahnya maka kamu kahwinilah ia , Abdur Rahman bin Auf menjawab : Semoga Allah memberkati kamu dan keluargamu dan hartamu , tunjukkan aku dimanakah pasar kamu , maka ia dibawa ke pasar Bani Qainuqa’ ..”
Hijrah adalah Kedaulatan
Kemuncak kejayaan hijrah ialah apabila baginda meletakkan Piagam Madinahatau Miithaaqul Maadinah sebagai perlembagaan negara Islam pertama justeru ia menepati sebuah perjanjian antara kerajaan yang dibentuk dengan rakyat yang dipimpin.
Asas terpenting di dalam piagam ini ialah :
“ Apa jua yang menjadi perselisihan dikalangan kamu maka tempat rujuknya ialah Allah Azza wa Jalla dan Muhammad saw. ”
Inilah kedaulatan Islam .
Hijrah Rasul saw. membina kedaulatan Islam dan meletakkan ummatnya aman , harmoni , bahagia , tenang , selamat , bertamaddun , maju , berjaya dan kuat . Islam menjadi asas dan sumber pedoman atau petunjuk , sementara ummah pula sebagai khalifah yang mentadbir dan mengurus kehidupan di dunia berasaskan agama .
Syiar Negara Islam pula sebagaimana ungkapan Ruba`i bin `Amir kepada Rustam Panglima Parsi :
“ Sesungguhnya Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia dari perhambaan sesame hamba kepada menghambakan diri kepada Allah yang maha Esa , ( mengeluarkan manusia ) dari kesempitan dunia kepada keluasannya dan ( mengeluarkan manusia ) dari kedholiman ideology kepada keadilan Islam .”
Hijrah adalah Kemenangan
Bermula dengan kejayaan nabi saw. melepasi kepungan rumah baginda oleh 11 mafia yang dilantik mewakili kabilah masing – masing , nabi saw. terus mencipta kejayaan demi kejayaan sehinggalah tiba di Madinah .
Ancaman pertama ( di rumah baginda ), Nabi saw. berjaya melepasinya dengan menabur pasir ke atas kepala musuh seraya membaca firman Allah swt :
9. Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia Yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab Yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat).lalu Kami tutup pandangan mereka; maka Dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan Yang benar).
Surah Yaasin .Ayat : 9
Ancaman kedua ialah sewaktu baginda Rasul saw. bersama Abu Bakar di dalam Gua Thur. Ianya adalah saat yang paling getir pula terputus hubungan dengan pihak luar.
Peringkat awal , Abu Bakar rha. telah menunjukkan rasa resah berhadapan dengan situasi sedemikian , tetapi nabi saw. sangat optimis bahawa hijrahnya untuk menegakkan Negara Islam dan mendaulatkan syariat Allah pasti tidak disia – siakan oleh Allah Jalla wa `Ala . Lantas baginda menegaskan :
“ Jangan bimbang ( berduka cita ) sesungguhnya Allah bersama kita “
Penegasan tersebut telah dirakamkan oleh Allah swt .dalam firman-Nya di surah at taubah :
40. Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka Sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, Iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di Dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah Engkau berdukacita, Sesungguhnya Allah bersama kita".
maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya Dengan bantuan tentera (malaikat) Yang kamu tidak melihatnya. dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah Dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah Yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Surah at Taubah .Ayat : 40
Ternyata Allah swt.telah menghantar nusrah dan ma`unah-Nya kepada mereka yang berjuang untuk menegakkan agamaNya. Nabi saw. dan Abu Bakar rha. selamat dari kepungan tersebut dan meneruskan hijrahnya ke Madinah .
Ancaman ketiga , dikala Nabi saw. berhadapan dengan Suraqah bin Malik yang begitu teruja dengan tawaran pembesar Quraisy lalu berhajat benar ia membunuh Nabi saw. Ternyata Suraqah bukan sahaja tidak berjaya membunuh Nabi saw. malah mencederakan baginda pun tidak berupaya .
Sebaliknya Nabi saw. penuh bergaya dan hebat , menawarkan hadiah lebih lumayan mengatasi apa yang ditawarkan oleh pembesar musyrikin . Nabi saw. menawarkan 2 gelang maharaja Farsi . Gelang yang ditawarkan oleh nabi saw. akhirnya dipakaikan kepada Suraqah bin malik di zaman pemerintahan Saiyidina Omar al Khattab rha. setelah amirul mukminin berjaya mengalahkan Parsi sang kuasa besar dunia dan merampas gelang tersebut.
Saiyidina Omar al Khattab memanggil Suraqah untuk memakai gelang tersebut seraya mengajar Suraqah agar berkata :
“ Segala puji bagi Allah , Tuhan yang telah merampaskan keduanya dari Kisra bin Hurmuz yang pernah berkata : Akulah tuhan kepada manusia dan Tuhan telah memakai keduanya kepada Suraqah bin Malik .”
Ketibaan nabi saw. di Madinah disambut penuh gembira dan meyakinkan oleh golongan Ansar dengan slogan yang menandakan mereka adalah golongan yang menang dan berjaya malah bakal muncul menjadi ummat yang terbaik memimpin dunia.
“ Bulan purnama telah terbit menaungi kita , dari arah Tsaniah al Wida’ Wajiblah ke atas kita bersyukur , apa yang diseur kerana Allah oleh yang menyeru Wahai orang yang dibangkitkan dikalangan kita , kamu membawa perkara yang mesti ditaati . ”
Tertegaknya negara Islam Madinah , Islam tidak lagi diperkotak katik dan dipersenda melainkan mereka terpaksa menerima tentangan sengit dan akhirnya terpaksa akur dan tewas kepada Islam . Bermula dari peperangan Badar al Kubra hinggalah Pembukaan Kota Makkah , nabi saw. terus meletakkan Islam dan ummatnya unggul di pentas antarabangsa sebagai bangsa dan agama yang merdeka dan menang.