Tuesday, January 24, 2012

TEKS USRAH BULAN JANUARI 2012

PERANAN TARBIAH KEPADA PETUGAS PILIHANRAYA

Muqaddimah
Pilihanraya adalah satu medan amal untuk mendapatkan kuasa bagi melaksanakan Islam di negara ini. PAS sebagai sebuah parti politik dan gerakan Islam yang sudah lama bertapak di negara ini, telah mengambil pendekatan pilihanraya sebagai satu uslub. Penyertaan dalam pilihanraya adalah wajib bagi memastikan Islam berdaulat dan berkuasa. Islam tidak boleh hanya berlegar di dalam masjid dan berdakwah semata-mata, tanpa ada kuasa untuk menghalang sesiapa yang zalim di atas muka bumi ini. Islam yang hendak diperjuangkan oleh PAS tidak ke mana kalau hanya bersandar di tiang seri masjid, tetapi ia mesti bersandarkan kepada tiang negeri. Maka kerja amal yang kita lakukan ini adalah satu jihad untuk memastikan kedaulatan ini tercapai.
Maka pilihanraya adalah medan untuk kita beramal dan berdakwah untuk mengajak manusia kembali kepada jalan Allah SWT.

Walaubagaimanapun peranan tarbiah kepada petugas pilihanraya PAS adalah menjadi keistimewaan kepada petugas PAS yang tidak boleh memisahkan dengan tarbiah walaupun dalam apa jua suasana. Kerana tarbiah memberi sumber kekuatan roh kepada petugas walaupun kita mempunyai kekurangan yang lain.
Petugas pilihanraya yang berjaya ialah mereka yang mempunyai kekuatan hubungan dengan Allah SWT. Bukan senang hendak menarik sokongan masyarakat kepada PAS, kerana kita tidak mempunyai tawaran kebendaan.
Kerja ini memerlukan kemampuan dan semangat yang waja, dan memerlukan beberapa pra syarat untuk berjaya. Di sinilah letaknya peranan tarbiah kepada petugas pilihanraya


1.    Beriman Dengan Fikrah Perjuangan Islam
Seorang petugas yang baik beriman dengan fikrah perjuangan yang dibawa oleh PAS seperti yang terkandung yang di dalam perlembagaan PAS Fasa 3 “ Dasar PAS ialah ISLAM”. Islam yang diperjuangkan oleh PAS ialah islam yang lengkap, merangkumi semua perkara samaada ibadah, politik, ekonomi, akhlak. Dalam erti kata yang lain merangkumi urusan hidup dan mati. Pas mahu memperjuangkan Din  wa daulah            ( Agama dan Negara)

Islam yang diperjuangkan oleh PAS ialah satu ajaran  yang menyeluruh seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW. Ia bukan satu tempelan dalam perkara tertentu dan meninggalkan pada perkara tertentu. Jika Rasulullah SAW dan para sahabat berjihad untuk mendaulatkan agama Allah atas muka bumi ini maka kita sebagai orang yang kasih kepada baginda mesti melaksanakan arahan ini seperti yang baginda lakukan selama ini. Nabi kita Muhammad SAW tidak perlu berhijrah jika Islam yang hendak ditegakkan hanya kepada Islam yang sempit seperti yang diajar dan diamalkan oleh negara ini. Maka PAS berusaha untuk  menegakkan Islam berdasarkan realiti di negara ini bagi memastikan matlamat ini tertunai. Maka kerja ynag dilakukan oleh PAS, adalah merupakan satu jihad.
Sekiranya Islam tidak didaulatkan maka selagi itulah Islam dihina dan dipermainkan oleh musuh yang akhirnya fitnah dan kekufuran berkuasa di bumi ini. Penghinaan terhadap apa yang Allah perintah secara qat’ie tidak boleh dilaksanakan kerana Islam berada dibawah kuasa orang lain. Maka usaha untuk menegakkan kuasa inilah satu kerja jihad.

Di dalam fasa 5. Tujuan PAS ialah:
1)    Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
2)    Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Di dalam fasal ini jelas bahawa PAS berusaha untuk membentuk masyarakat Islam sejak dari awal penubuhan lagi.
Meletakkan dalam dirinya senang sahaja berjuang. Memikirkan untuk menarik sokongan orang kepada perjuanagn Islam seperti hendak kempen barang jualan langsung, adalah tanggapan yang silap. Sebaliknya apa yang berlaku sukar dan payah.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Alif Lam Miim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan “ kami telah beriman” sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguiji orang-orang yang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar benar beriman dan sesungguhnya dia mnegetahui orang-orang yang berdusta”
Al – Ankabut : 1-3

2.    Memahami Agama Islam Dengan Baik

Petugas pilihanraya mesti memahami agama dengan baik, akan dapat memberi petunjuk  kepada orang lain. Justeru itu, ia perlu menguasai tentang agama Allah kerana ianya tidak akan dapat memberikan petunjuk ke jalan Allah, jika beliau sendiri gagal untuk memahami Islam yang sebenar. Sekurang-kurangnya perkara asas ia mesti mengetahui kerana ia hendak meyakinkan orang kepada perjuangan yang kita bawa adalah perjuangan suci yang bukan menjanjikan benda, sebaliknya menjanjikan perkara sam’iyat . Sekiranya ia jahil tentang agama bagaimana ia hendak menguasai fikrah masyarakat. Seperti kata pepatah Arab “ seseorang yang fakir tidak boleh memberikan sesuatu”

Sedangkan golongan sekular di negara ini memperalatkan agama dan memutarbelitkan agama demi kelangsungan perjuangan batil mereka. Mereka mencari orang-orang agama yang boleh dijadikan kuda tunggangan supaya menghalalkan segala bentuk kezaliman dan perkara yang bertentangan dengan agama yang suci. Maka petugas pilihanraya mesti menguasai ilmu ini sebagai  benteng pertahanan untuk menangkis diayah ini. Memperalatkan agama bukan perkara baru dalam UMNO dan BN, semua ini memerlukan keyakinan, tawakal kepada Allah disamping ilmu pengetahuan. Tanpa senjata ini petugas PAS akan kecewa dan meraba-raba dalam melakukan tugas yang berat ini. Program untuk memahamkan masyarakat ini boleh dijalankan melalui dakwah “amah (umum) seperti kuliah, ceramah, muzakarah, risalah. Mesejnya jelas iaitu untuk memahamkan mereka kepada mereka tentang Islam yang syumul bukan sahaja Islam hadhari yang tidak bertolak daripada asas akhidah, sekarang “Islam Wasatiah.” Maka diharapkan kepada semua petugas untuk menguasai ilmu secara berterusan dan tidak boleh berpada dengan apa yang ada sahaja.

Di zaman serba bermaklumat dan dunia tanpa sempadan maka penguasaan ilmu dan pemahaman agama yang mantap adalah asas. Zaman mu’tazilah moden yang pakai akal tanpa wahyu, rasional tanpa Al-quran, logik tanpa al-sunnah. Maka petugas yang tegar dengan pegangan agama  sahaja yang mampu untuk melawan kesesatan ini.
Oleh itu, semua petugas di jalan Allah daripada semua peringkat samada yang bergelar pemimpin sampai pengikut biasa hendaklah bersedia mendalami ilmu agama untuk meyakinkan mereka  apa yang kita bawa. Kita hendaklah berusaha daripada semasa ke semasa tanpa jemu. Kerana ilmu hari ini berkembang seperti kilat sekiranya kita tidak bersedia untuk “up to date” maklumat, maka kita akan tertinggal ke belakang.
Petugas pilihanraya mesti bersedia untuk memenuhi majlis ilmu yang diadakan di mana sahaja, supaya kita dapat menjadi ahli PAS yang mempunyai nilai tambah. Guru yang kita hendak menadah kitab biarlah mereka yang mursyid yakni guru yang boleh memberi petunjuk kepada perjuangan, bukan hanya berteori di dalam surau dan masjid sahaja. Kita tidak mahu mereka hanya berteori dan tidak turun bergelomang dengan perjuangan yakni bersama meneroka medan dan kerja lapangan di dalam jemaah. Minimum standard biarlah mereka membimbing kuliah dan menjadi naqib di dalam program PAS, kalu pun mereka tidak mahu berada di atas pentas PAS untuk berceramaah. Ataupun sekurang-kurangnya mereka ini memimpin cawangan dan terlibat dalam organisasi parti. Guru seperti inilah baru kita dapat melihat bagaimana ruh jihad akan menular kepada muridnya.

  1. Bersifat Ikhlas
Kerja pilihanraya tidak boleh bergerak sekiranya tidak ada semangat ikhlas di kalangan anggota dan pimpinan. Semangat ikhlas inilah yang berjaya dilahirkan dalam tarbiah PAS sehingga mereka berjuang bukan kerana  individu tetapi kerana Islam dan Jamaah. Memang tidak dapat dinafikan bahawa PAS telah berjaya menanamkan kefahaman Islam sehingga melahirkan ahli yang ikhlas kepada Allah SWT dalam perjuangan. Inilah kejayaan tarbiah yang dianjurkan oleh PAS. Tidak hairanlah kepada kita beberapa orang pemimpin tertinggi PAS yang telah mengkhianati perjuangan namun ahli PAS tidak pernah mundur walaupun setapak, malahan ini dianggap sebahagian daripada tarbiah untuk melihat sejauh manakah mereka yang telah tahan diuji semasa dalam perjuangan. Pemimpin PAS yang keluar daripada PAS hidup menderita apabila mereka melihat sejak ketiadaan mereka PAS semakin berkembang bukan semakin lemah. Ini yang menambahkan barah perasaan dan mental di dalam diri mereka. Fanatiknya ahli-ahli PAS kerana perjuangan dan dasar PAS. Prinsip perjuangan yang tidak pernah luntur daripada Islam. Selain daripada itu, keikhlasan yang ada dikalangan ahli-ahli PAS jugalah merupakan sebab Allah mengekalkan PAS dan ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Seperti mana wasiat Allahyarham Prof. Zulkifli Mohammad kepada wakil rakyat pada tahun 1964 sebelum beliau meninggal dunia,

“Saya perlu memberitahu saudara satu daripada syarat kejayaan bagi satu perjuangan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa, mungkin tidak kuat. Tapi keikhlasan ada pada kita, maka ada harapan cita-cita ini dapat dilaksanakan. Tidak ada gunanya kita cerdik, pandai, kuat, sekiranya kita tidak ikhlas dengan apa yang kita perjuangkan. Kita suci tujuan kita kepada itu. Kita ketepikan kepentingan yang lain dari itu, ini perlu pada kita. Keikhlasan yang tidak ada belah baginya lagi. Keikhlasan yang tidak mengira yang lain selain dari apa-apa yang kita tuju dalam perjuangan asal kita. Kejayaan orang yang dahulu pada diri kita, semuanya pada keikhlasan. Amat perlu keikhlasan ini, kita tanam, kita pupuk pada diri kita”
                                    Mewarisi Kepimpinan Anbiya’ 1991 : 7

  1. Muraqabah Dengan Allah SWT
Kerja yang dilakukan penuh dengan cabaran yang berliku maka petugas pilihanraya mesti melakukan muraqabah dengan Allah, melalui amalan-amalam sunat, beruzlah dari kesibukan dunia untuk mendapat ketenangan dan memohon supaya Allah memberikan kekuatan dalam menjalankan dakwah. Inilah senjata yang paling utuh perlu diterap dalam jiwa petugas terutama menghadapi suasana yang getir pada waktu sekarang ini. Kita mesti meletakkan perjuangan menghadapi kezaliman sekarang tidak boleh lagi berada di zon selesa. Semua para petugas perlu memperbanyakkan amalan fardhiah supaya dapat membersihkan diri dan jiwa dengan membaca Al-Quran, berzikir, solat sunat kesemuanya ini akan membuahkan keikhlasan dalam diri para petugas.

  1.  Qudwah Hasanah
Suri contoh teladan yang baik adalah senjata yang paling berkesan untuk mengajak orang kepada perjuangan. Kerana manusia lebih terpengaruh dengan bahasa perbuatan daripada bahasa lidah.
Kisah seorang Yahudi bernama Zaid bin Saanah yang memberi hutang kepada Rasulullah SAW. Sebelum 2 atau 3 hari tempoh pembayarannya, beliau dan beberapa sahabatnya bertindak dengan kasar dan caci nista untuk meminta hutang. Saidina Umar yang ada waktu itu hendak memancung lelaki tersebut. Baginda melarang sebaliknya menyuruh Saidina umar menjelaskan hutang dan ditambah 20 gantang tamar. Maka yahudi itu hairan, dan bertanya kenapa? Maka Saidina Umar memberitahu sebagai ganti kjepda perbuatanku yang telah menggerunkan engkau . Akhirnya yahudi tersebut memeluk Islam dan sebahagian hartanya disedekahkan kepada umat Muhammad SAW.
Kita pernah mendengar bagaimana seseorang masuk PAS kerana melihat Al—Marhum Ustaz Fadhil Nor sebagai Presiden PAS berbaris dengan orang ramai walaupun ada orang menjemput beliau memotong giliran.
Bagaimana orang hendak ikut kita sedangkan kita sendiri lemah yang tidak memaparkan akhlak yang tinggi. Kita tidak mahu orang menjauhi kerana tidak ada suri teladan yang baik, dengan ini mendatangkan rugi kepada jamaah. Bahasa badan (lisanul hal) lebih berkesan daripada bahasa percakapan

  1. Bekerja Secara Berjamaah
Tarbiah mengajar kita supaya bekerja secara berjamaah. Tugas yang berat ini tidak dapat dicapai jika bekerja secara personal (fardi) ia memerlukan kepada tugas yang dipikul bersama dengan anggota lain. Kerana musuh kita juga bekerja secara berjamaah untuk mematikan cahaya Islam. Apabila kita bekerja dengan cara organisasi maka ia akan memberi keselesaan bergerak sesama dengan kita. Bukan senang untuk mengajak manusia untuk beriman dengan Islam dan fikrah perjuangan yang dibawa oleh PAS. Kita akan kecewa sekiranya kita gagal. Tetapi dengan bekerja secara berjamaah ia akan menjadi penawar kepada petugas jamaah. Petunjuk yang dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW sendiri dengan para sahabat dalam menyusun strategi perjuangan bersama-sama dengan jamaah yang dibentuk pada peringkat awal. Baginda boleh bekerja seorang diri sekiranya baginda ingin melakukan tetapi baginda mengajar para sahabat untuk bekerja dalam satu pasukan yang hendak mencapai satu objektif untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Bagaimana hebat dan pandai seorang petugas pilihanraya, ia tidak mampu bekerja seorang diri.

  1. Sabar
Menarik manusia ke jalan perjuangan adalah bukan suatu perkara yang senang, kesemua ini memerlukan kesabaran.
Oleh itu, para petugas pilihanraya perlu bersabar dalam menjalankan amanah ini. Amat payah untuk memberi kesedaran dalam jangka masa yang singkat. Maka sifat sabar akan menjadikan petugas itu tetap menyatakan Islam tanpa mengira jangka masa. Kerana dalam menjalankan kerja Islam itu terpaksa berdepan dengan pelbagai telatah tingkah laku yang menggoncang perasaan, kerana orang yang tidak faham Islam itu bercakap apa sahaja dan sanggup melakukan apa sahaja demi untuk memuaskan hawa nafsunya.
Sepanjang menjalankan kerja, petugas pilihanraya perlu juga sabar dengan petugas yang lain.

  1. Kepentingan Meletakkan Jamaah Melebihi Kepentingan Peribadi
Mereka meletakkan bahawa Islam dan jamaah adalah segala-galanya sehingga mereka tidak kisah apa yang ada pada diri mereka. Seorang petugas pilihanraya yang baik ia tahan lasak dan bersusah payah dengan ahli dan orang bawahan. Sentiasa insaf dengan kesusahan pengikutnya dan bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib dan cita mereka. Dengan ini, akan melahirkan gerakan yang dinamik untuk menggerakkan organisasi. Orang ramai akan melihat bagimana pengorbanan yang ditunjukkan oleh petugas, yang tidak sayang pula menghabiskan wang, tenaga dan buah fikiran untuk Islam.

  1. Bersikap Tawadhuk
Sifat yang penting untuk kita mudah mendekati masyarakat ialah rendah diri. Kerana sifat takbur ia menjadi benteng penghalang masyarakat untuk rapat dengan dia malahan menjadi asing di kalangan masyarakat.
Tanda-tanda sifat takbur:
  1. Tidak mahu bergaul dengan orang miskin sebaliknya lebih suka mendekati golongan yang kaya
  2. Memberatkan soal pakaian secara berlebihan
  3. Tidak mahu berucap kecuali terdapat ramai hadirin yang datang
  4. Bahasa berbunga dan sukar difahami. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud
“Sesungguhnya Allah benci kepada pemidato dari (golongan lelaki) yang memilih kata-kata dengan lidahnya seperti lembu memilih-milih rumput dengan lidahnya”.                     
Riwayat Abu Daud dan Al-Tirmizi
  1. Bangga dengan Ilmu sendiri dan memperbodohkan orang lain.

Orang yang tawadhuk dia hidup dengan semua orang dan bersedia menyambut semua orang, bercakap dengan semua orang, menziarahi semua orang dan kasih semua orang. Dia memberi khidmatnya kepada orang bukan minta khidmat mereka. Beliau sentiasa berhubung dengan orang ramai bukan memutuskan dan menjauhi mereka. Walaupun beliau bijak macammana pun dia perlu menurunkan darjat ananiah (keakuanku sahaja) daripada dirinya. Kerana yang ia memimpin adalah 1 jamaah Islam, bukan badan kerajaan ataupun swasta, bukan gerakan elit, ahlinya bekerja sukarela bukan ada gaji. Jika ini dapat dibuktikan InsyaAllah ia akan merancakkan gerak kerja dan melebarkan pengaruh PAS kepada orang luar.

Sekiranya petugas pilihanraya memimpin PAS dengan sifat ego, dan merasakan dirinya pandai dan bijak maka ia tidak boleh membawa parti ke arah yang lebih cemerlang. Orang yang mempunyai sifat ego dan sombong akan memalapkan usaha dan perancangan Jamaah. Kita mesti ada perasaan merendah diri apabila bertugas, kerana ia akan menarik perhatian orang ramai untuk bersama dengan perjuangan kita.

  1.  Disiplin Dalam Jamaah
Disiplin adalah perlu untuk menggerakkan Jamaah terutama sewaktu pilihanraya. Tanpa disiplin walaupun kita berada di atas jalan yang benar akan menemui kegagalan. Peristiwa kegagalan tentera Islam dalam perang Uhud kerana tidak ada disiplin. Kerjasama yang baik dan semangat yang baik dan bertindak secara Jamaah. Walaupun kita mempunyai kekuatan dan kelebihan ahli yang ramai , ahli yang taat, kekuatan jihad yang tinggi tetapi jika tidak mempunyai disiplin ia akan menemui kegagalan.
Saidina Ali menyatakan yang bermaksud
“Kebenaran tanpa penyusunan akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun”

  1. Lemah Lembut dan Pembelas Kasihan
Tidak ada manusia yang suka kekerasan. Kita bukan sahaja hendak melontarkan fikrah semata-mata untuk mereka menerima, tetapi juga menyelami permasalahan mereka. Kita mengemukankan hujah kepada orang ramai supaya membolehkan mereka ini mendapat hidayah Allah. Di sinilah perlunya kita bersikap lemah lembut supaya mereka mudah menerima seruan dakwah.
Kita wajib kasihan terhadap masyarakat yang derita akibat dicengkam dan dizalimi dengan sistem jahiliah yang ada pada masa sekarang sehingga mereka merempat di bumi sendiri. Kita sebagai penyelamat, mestilah bermuamalah dengan mereka dengan pandangan rahmah bukan bermusuhan dan mesti berusaha untuk memindahkan mereka kepada nikmat Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud
“Orang yang menafkahkan hartanya baik di waktu lapang mahupun sempit dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan maafkan kesalahan orang. Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan”                                                                       
Al-Imran : 134

  1. Memudahkan Bukan Menyusahkan
Menerangkan Islam dengan bentuk yang mudah supaya ia nampak rahmahnya Islam. Elakkan pendekatan yang menghukum, lebihkan pendekatan yang positif supaya ia merasa perlu Islam disokong kerana menyelamatkan dunia dan mendatang kebahagiaan dunia dan akhirat.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud,
“Kamu permudahkan dan jangan persusahkan, berilah khabar gembira dan janganlah kamu liarkan”
                                                                                                            Riwayat Al-Bukhari




  1. Manis Muka
Manis muka dan indah tutur kata amat mudah untuk menarik perhatian dan menguasai pengundi.
Muka lambang apa yang ada dalam diri seseorang. Muka yang manis melambangkan kelembutan dan ketenangan. Manakala muka yang masam melambangkan keserabutan dan kesempitan dada.
Wajah yang manis bukan bererti muka yang cantik dan keindahan rupa paras, kerana boleh jadi rupa paras cantik tetapi tidak terdapat padanya kemanisan, boleh jadi rupa yang tidak cantik tetapi penuh kemesraan dan keriangan.
Kita mesti melatih dan membiasakan wajah meskipun kita tengah sarat dengan masalah.

  1. Pemurah
Lebar tangan dan suka menolong orang ramai merupakan tanda kuat yang menunjukkan kemurahan hati seseorang.  Manakala sifat bakhil tamak dan haloba menunjukkan kebakhilan dan ketamakan. Apabila sifat bakhil bertakhta di hati maka orang akan menjauhi kita dan memandang serong dengan dakwah yang kita seru.
Kekadang dalam sesetengah keadaan kita hendak menarik sokongan masyarakat amat memerlukan wang untuk dibelanjakan supaya dapat menjinakkan mereka kepada kita. Kerana mahalnya nilai manusia kepada kita maka kita terpaksa untuk membelanjakan wang yang agak lebih berbanding dengan yang lain.kita jadikan harta sebagai alat memberi hidayah dan dakwah bukan sebaliknya. Tidak ada siapa yang papa kerana dia pemurah untuk kepentingan Islam.
Sikap suka menjamu makan adalah salah satu pendekatan yang perlu dilakukan sebagai tanda pemurah.

  1. Memberi khidmat kepada orang lain
Kerja Islam bukanlah untuk menyampaikan idea dan arahan semata-mata malah pendakwah menukarkan diri sehingga membolehkan ia menghayati penderitaan orang ramai dan sama-sama memikul keperitan yang diamali oleh mereka dengan menghulurkan khidmat bakti untuk meringankan beban.
Sesetengah masyarakat yang hidup susah sukar untuk menerima seruan dakwah kerana mereka hanya memikirkan keperluan hidup mereka sahaja. Kecuali orang yang sudah bersedia menerima perjuangan Islam seperti orang PAS tegar. Kita mesti membuka tembok pemisah antara kita denagn mereka melalui khidmat yang dicurahkan kepada mereka. Pejuang yang sebenar adalah ia hidup untuk orang lain bukan hidup untuk dirinya. Mereka bekerja untuk kerehatan orang lain walaupun dirinya sendiri terpaksa mengorbankan kesenangan dirinya. Mereka akan bahagia apabila melihat orang lain bahagia dan merasa senang melihat orang lain senang.

Sebenarnya inilah cara berkesan untuk menarik sokongan untuk orang menerima seruan perjuangan kita. Sebenarnya inilah medan berkesan daripada pidato semata-mata dan gerak kerja dakwah bukan berbentuk ucapan semata-mata. Maka amilin mestilah hidup bersama mereka, berbincang dan berbual bersama dengan mereka samaada program rasmi ataupun tidak.
Rasulullah bersabda bermaksud
“ Di antara perkara yang memastikan mendapat keampunan daripada Allah SWT ialah dengan engkau memasukkan kegembiraan kepada saudaramu yang muslim”
Riwayat At-Tabrani

Program Tarbiah Kepada Petugas
  • Ikhlaskan hati kerana Allah
  • Berusaha meninggalkan dosa besar dan tidak mengejal dosa kecil
  • Sentiasa berwuduk
  • Solat berjamaah di masjid mahupun surau
  • Membaca mathurat
  • Membaca yasin
  • Hidupkan malam dengan solat tahajud, solat hajat
  • Membaca Al-Quran sekurang-kurangnya 1 muka surat
  • Menjaga muamalat lelaki dan perempuan ketika bertugas serta lain2 keadaan
  • Pelihara aurat dan dilarang bertabaruj keterlaluan
  • Perbanyakkan muhasabah diri,
  • Bersedia menerima teguran
  • Berlapang dada dengan sahabat ketika bertugas
  • Elakkan bersikap mando/ bos kerana yang datang adalah sukarela
  • Wujudkan suasana mahabbah dan ukhwah sepanjang masa.
  • Elakkan bertengkar
  • Kurangkan senda gurau

Kesimpulan / penutup
Tarbiah memainkan peranan yang penting samada di waktu tenang mahupun di waktu peperangan..maka pelaksanaan adalah penting untuk memastikan perjuangan menegakkan baldatun toiyibatun warabul ghafur tercapai. InsyaAllah kita mengharapkan dengan tarbiah yang PAS berikan selama ini kepada ahlinya, ia akan mampu menyelamatkan parti daripada kemusnahan. Mereka yang mnghayati dan memahami konsep tarbiah dan mengikut manhaj jamaah sahaja yang mampu untuk hidup bersama dengan perjuangan Islam. InsyaALLAH.

Monday, December 26, 2011

PERTOLONGAN ALLAH

Firman Allah yang bermaksud;

Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, sedang ia diajak kepada memeluk Islam; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad SAW) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. (As-Saf: 8-9)

MUQADDIMAH

Bagi kaum musyrikin Mekah, perangan Badar merupakan peperangan yang tersangat menyakitkan buat mereka. Mengapa tidak ? Tentera mereka banyak yang korban, sebahagiannya menjadi tawanan dan yang lainnya lari berselerakan menyelamatkan diri dengan meninggalkan harta benda yang tersangat banyak. Padahal mereka telah membuat persiapan untuk menghadapi pertempuran ini dengan persiapan yang secukupnya. Mereka membawa pasukan tempur dengan persenjataan dan logistiknya, jauh lebih besar dan kuat dibandingkan pasukan kaum muslimin.

Secara teknikel ketenteraan, mereka memang mengungguli segalanya dibanding kaum muslimin. Akan tetapi semua itu tidak menjadi jaminan kemenangan, apalagi kemenangan yang gilang gemilang. Sebaliknya tentera Islam yang selama ini mereka remehkan, ternyata teramat sulit untuk dipatah dan dikalahkan.

FAKTOR KEMENANGAN MUSLIMIN DI BADAR

Banyak faktor yang menjadikan tentara Islam di medan Badar sukar dipatahkan, sehingga akhirnya mereka telah beroleh kemenangan. Diantaranya :

a) Adanya motivasi yang kuat dalam perjuangan menegakkan agama Allah.

Semangat jihad fi sabilillah memang sulit untuk dipadamkan. Sejarah telah memperlihatkan kepada kita betapa kesungguhan dan keikhlasan para mujahid Islam di medan Badar dalam membela agama Allah berjuang dengan mengorbankan segalanya adalah menjadi sebab kemenangan.

b) Ketaatan atau kepatuhan mereka kepada kepimpinan Rasulullah SAW

Ketaatan para sahabat terhadap Rasulullah SAW memang sukar dicari bandingannya. Ketaatan yang dijiwai oleh keimanan yang tertancap kuat di dalam dada mereka, sulit dipatahkan oleh hebat dan dahsyatnya pertempuran.

c) Pertolongan Allah yang turun di saat yang sangat tepat.

Pertolongan itu antara lain berupa turunnya hujan sebelum bermulanya peperangan. Hujan yang turun dengan lebat di daerah padang pasir dan bukit-bukit berbatu itu, banyak membawa keuntungan tersendiri bagi kaum muslimin. Bagi tentera Rasulullah SAW turunnya hujan itu, bagaikan mendapat ‘tentera bantuan’  yang sangat diperlukan di daerah yang kering kontang, sekaligus menghilangkan keragu-raguan dalam menghadapi musuh.

Maka benarlah, ketika Allah berfirman memberitahu kemenangan pasukan yang dibawa Rasul-Nya : "

Dan Dia ( Allah) telah menolong kamu dalam (perang) Badar, sedangkan jumlah kamu sedikit. Karena itu bertaqwalah kepada Allah, agar kamu berterimakasih ". (Ali Imran: 123)

UNDANG-UNDANG KEMENANGAN

Di dalam perjuangan, kemenangan tidak pernah datang secara tiba-tiba atau semberono tanpa sebab yang mendorong berlakunya kemenangan. Kemenangan hanya akan datang apabila berlaku undang-undangnya.

Undang-undang 1:
Kemenangan hanya datang daripada sisi Allah SWT. Siapa yang ditolong oleh Allah mereka tidak akan dikalahkan buat selama-lamanya, sekali apa pun perancangan yang disusun oleh musuh timur dan barat. Namun siapa yang Allah ingin hinakan, tiada siapa yang akan dapat membantu dan membantunya untuk memperoleh kemenangan. Undang-undang kemenangan ini dapat kita lihat dari peristiwa tentera Thalut yang dapat mengalahkan tentera Jalut sekalipun bilangan tenteranya sangat sedikit dibandingkan tentera Jalut. Demikian juga Allah telah pernah membantu tenteranya yang tidak memiliki senjata dan pengikut seperti yang berlaku kepada Rasulullah SAW pada ketika Nabi dan Abu Bakar As-Siddiq ketika bersembunyi di Gua Thur.

Undang-undang 2:
Allah tidak akan menolong siapa yang tidak menolongnya. Siapa yang menolong Allah, Allah pasti akan menolongnya, seperti firman Allah SWT;

Wahai orang-orang yang beriman. Jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. (Muhammad: 7)

Yang dimaksudkan dengan menolong Allah ialah menolong agama-Nya dan berjuang untuk meninggikan kalimah-Nya serta berjihad untuk meletakkan syariat-Nya ditempat yang tertinggi. Kalau kita benar-benar berjuang dan kita benar-benar beriman kepada Allah kita pasti akan ditolong oleh Allah SWT, seperti firman-Nya;

Adalah menjadi tanggungjawab kami menolong orang-orang yang beriman (Ar-Rum: 11)

Undang-undang 3:
Seperti mana kemenangan tidak akan berlaku melainkan kepada orang-orang yang benar-benar beriman, maka demikian juga kemenangan tidak akan berlaku melainkan dengan sebab orang-orang yang beriman. Kemenangan Islam adalah hadiah untuk orang-orang beriman, dan ia juga akan berlaku dengan sebab mereka. Merekalah punca kemenangan Islam. Firman Allah yang bermaksud;

Dialah (Allah) yang telah memperkuatkan engkau (Wahai Muhammad) dengan kemenangan-Nya dan dengan sokongan orang-orang yang beriman (Al-Anfal:62)

GENERASI KEMENANGAN

Generasi perjuangan yang akan mewarisi kemenangan daripada Allah SWT adalah generasi yang lahir daripada ‘sumber Islam’ yang suci dan memahami Islam dengan kefahaman yang tepat mengenai Islam. Mereka tidak hanya Islam pada nama, tetapi merekalah generasi yang hidup dalam praktikal Islam. Kelainan mereka daripada orang lain, sehingga mereka dianggap asing, namun mereka hidup di tengah-tengah masyarakat menampilkan ketinggian akhlak Islam dan peradaban kemanusian yang sungguh tinggi. Mereka tidak pernah berduka oleh sedikitnya orang seperti mereka, yang menyebabkan timbul kekecewaan dalam diri mereka, kemudian mengambil sikap hidup bersendirian atau bersama kelompoknya sahaja, terasing diri daripada masyarakat, tetapi merekalah pendakwah yang sentiasa menyeru kepada Allah dan jalan-jalan kebenaran. Ciri-ciri generasi ini ialah;

a-Generasi yang hidup dalam reality yang nyata
Mereka berkerja dan berjuang di alam kenyataan. Mereka ‘tidak berenang di atas daratan dan tidak terbang tanpa menggunakan sayap’. Mereka memiliki impian, namun impian mereka bukan khayalan. Impian mereka adalah suatu yang tidak mustahil dapat dicapai. Mereka memahami sunnatullah di dalam perjuangan. Mereka memahami bahawa kejayaan di dalam perjuangan tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat. Bahkan perjuangan memerlukan kesabaran yang sebegitu besar sebelum terciptanya sebuah kemenangan. Seumpama sepohon pokok yang rendang dan berbuah dengan lebat telah melalui proses yang panjang bermula ia adalah daripada sebiji biji benih.

b-Generasi yang berkerja
Mereka bukan golongan yang hanya tahu menyanyi terhadap kehebatan Islam di masa lampau, dan tidak juga hanya menyanyikan lagu-lagu bahawa Islam tetap akan menang pada masa akan datang, tapi mereka meyakini bahawa  kemenangan itu akan tercapai setelah mana berlaku usaha dan kerja yang tidak sedikit demi untuk menikmati harga sebuah kemenangan. Mereka meyakini bahawa kerja untuk mendaulatkan Islam adalah suatu kewajipan yang balasan pahalanya tetap ada di sisi Allah. Kerja mereka di medan jihad tidak pernah berhenti. Mereka tidak pernah terleka terhadap tugas-tugas jihad walau hanya untuk sesaat sahaja. Pertempuran mereka dengan musuh berterusan, samada musuh zahir ataupun musuh bathin. Mereka tidak pernah ‘membuang senjata’ dan tidak pernah ‘berhenti berehat’ oleh letihnya perjuangan.

c-Generasi yang bersifat Rabbani
Generasi yang bersifat Rabbani adalah generasi yang mereka hidup di atas muka dunia, tetapi dengan memiliki hati sebagai orang-orang akhirat. Mereka hidup di atas mukabumi, namun hati mereka menjangkau ke alam tinggi. Merekalah  tujuh golongan yang bakal bernaung di bawah arash Allah SWT pada hari yang tidak ada naungan melainkan arash Allah SWT di akhirat nanti. Hati mereka sentiasa bergantung kepada Allah, sementara lidah mereka tidak pernah kering daripada menyebut nama Allah. Mereka sentiasa sebuk mentaati Allah, jikalau mereka mencintai seseorang adalah kerana Allah, demikian juga membenci pun juga kerana Allah. Yang paling nenonjol sifat mereka ialah ‘mukhlisin’, mereka penuh sedar bahawa mereka diciptakan hanya untuk menjadi hamba kepada Allah. Mereka sedar bahawa apabila hidup di atas muka dunia sudah tersasar daripada matlamat ubudiyyah kepada Allah, mereka tidak akan mencapai kemuliaan dan ketinggian hidup di atas muka dunia.

TAZKIRAH KEMENANGAN

Adalah perlu menjadi peringatan kita, pertolongan Allah itu tidak hanya berlaku sebelum terjadinya peperangan, namun juga setelah peperangan berakhir. Iaitu ketika kaum musyrikin hendak menuntut balas atas kekalahan mereka. Dalam kitab "Ar-Rahiqul Makhtum" susunan As-Syeikh Shafiyyur Rahman Al-Mubarakfury diungkapkan dengan jelas perancangan mereka untuk membunuh Nabi SAW, namun telah digagalkan dengan pertolongan daripada Allah SWT.

Ada dua orang tokoh musyrikin Mekah. Umair bin Wahab dan Sofwan bin Umayyah, keduanya masing-masing diliputi dendam yang membara terhadap Nabi Muhammad SAW. Dendam keduanya bukan sekadar kerana pasukan mereka kalah besar di medan pertempuran, tetapi juga keduanya kehilangan anggota keluarganya yang terkasih. Umair kehilangan anak kesayangannya, Wahab bin Umair, yang ditawan kaum muslimin. Dan Sofwan kehilangan ayahnya dan anaknya yang mati terbunuh. Keduanya bertemu di Hijr, saling menghibur diri dan bersepakat untuk membunuh Nabi.

Kata Sofwan kepada sahabatnya, sesudah kekalahan di Badar, pasti akan datang kemenangan. Umair menyambutnya " engkau benar. Demi Allah, kalau tidak karena aku masih ada hutang yang harus aku lunasi dan kalau tidak karena keluarga yang kutakutkan akan musnah setelah kematianku, niscaya pada saat ini aku menunggang unta, akan ku temui Muhammad dan akan aku bunuh dia. Apalagi sekarang anakku menjadi tawanannya.". Sofwan menyahut :" Jika itu tekadmu, aku akan menanggung seluruh hutang-hutangmu. Aku akan melunasinya. Keluargamu adalah keluargaku juga. Tidak usah dibimbangkan, aku akan menjaganya selama mana mereka masih hidup. Aku tidak keberatan sama sekali melindungi mereka "." Kalau begitu, rahasiakan kesepakatankita ini" , balas Umari. " Akan kulakukan" jawap Sofwan mantap.

Umair lalu meminta pedangnya, dan mengasahnya hingga tajam, kemudian segera berangkat ke Madinah. Ketika Umair tiba di Madinah, ia bertemu Umar Ibnul Khattab yang sedang berada bersama para sahabat yang lain di Masjid. Melihat kedatangan Umair, Umar seperti mendapat menelah perkara yang buruk. Ia segera menemui Nabi seraya berkata : " Wahai Nabi Allah, di luar Umair musuh Allah datang menghunuskan pedangnya" Nabi menjawab : " Suruh dia masuk". Sebelum Umar menyuruh Umair masuk, ia meminta kepada beberapa orang Anshar untuk masuk lebih dulu, duduk di sekitar Nabi, menjaga berbagai kemungkinan buruk yang akan dilakukan Umair kepada Baginda SAW. Setelah Umair masuk ke ruangan Nabi SAW, Umar langsung saja memegang tali pedang Umair di lehernya. Melihat tindakan Umar, Nabi menenangkan: " Biarkan saja, wahai Umar". Umair lalu mendekat ke Nabi sambil berkata: " Selamat pagi buat kalian semua" Nabi membalas: " Allah telah memuliakan kami dengan ucapan selamat yang jauh lebih baik dari ucapan selamatmu, wahai Umair. Itulah ucapan selamat para penghuni surga".

Nabi lalu bertanya: " Apa maksud kedatanganmu wahai Umair ?". Umair menjawab:" Aku datang untuk urusan tawanan yang berada di tangan kalian. Berbuat baiklah terhadap para tawanan itu". "Lalu untuk apa pedang di lehermu itu? " tanya Nabi. " Semoga Allah memburukkan pedang-pedang yang ada. Apakah pedang-pedang ini masih berguna bagi kami? " jawab Umair. " Jujurlah padaku. Apa maksud kedanganmu ?" tanya Nabi. " Hanya untuk itu tujuan kedanganku" Jawab Umair.

Nabi kemudian bersabda, membukakan persekongkolan jahat mereka: "Bukankah kamu pernah duduk-duduk bersama Sofwan bin Umayyah di Hijr, lalu kalian berdua menyebut-nyebut orang-orang Quraisy yang di masukkan ke dalam lubang, kemudian kamu berkata : " Kalau tidak karena aku masih punya hutang yang harus kulunasi, dan kalau tidak karena keluarga yang ku takutkan akan musnah setelah kematianku, niscaya pada saat ini aku akan menunggang unta, akan kutemui Muhammad dan ku bunuh dia? " Bukankah Sofwan hendak menanggung hutang-hutangmu dan keluargamu agar kamu dapat membunuhku ? Demi Allah, mustahil kamu dapat melaksanakannya.

Mendengar sabda Nabi SAW, Umair terkejut dan berkata: " Aku bersaksi bahwa engkau memang Rasul Allah. Wahai Rasulullah, dulu kami selalu mendustakan apa yang engkau sampaikan kepada kami, berupa pengkhabaran dari langit dan wahyu yang turun kepada engkau. Padahal tidak ada yang tahu masalah ini kecuali aku dan Sofwan. Demi Allah, kini aku benar-benar tahu bahwa apa yang datang kepada engkau adalah dari Allah. Segala puji bagi Allah yang telah menunjukki aku kepada Islam dan menuntunku ke jalan ini".

Umair lalu mengucapkan dua kalimat syahadat, memeluk Islam dan menjadi salah seorang sahabat Nabi yang setia. Bahkan dialah yang banyak membawa orang-orang di Mekah memeluk Islam.

Inilah salah satu contoh satu bentuk pertolongan Allah yang diberikan kepada para hamba-Nya yang bersungguh membela agama-Nya. Orang-orang musryikin dan kafirin sentiasa melakukan konspirasi untuk menghancurkan Islam, umatnya dan gerakannya, namun Allah tetap melindunginya. Benarlah firman Allah seperti ayat di atas;

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)”.

PENUTUP

Generasi kemenangan sekalipun sebegitu keras dan tegas dengan perinsip perjuangan, tetapi mereka adalah golongan yang mudah untuk dibawa berbincang. Mereka tahu mana suatu yang sifatnya usul dan mana suatu yang sifatnya furu’. Mereka dalam permasalahan usul adalah seperti besi, tetapi dalam permasalahan furu’ mereka adalah selembut sutera.

Generasi kemenangan, sekalipun mereka sentiasa berada di medan, tetapi mereka tidak pernah leka untuk sentiasa ‘kembali kepada Allah’. Mereka sentiasa mengawas diri daripada maksiat seperti mereka sentiasa mengawas diri daripada musuh Allah dan musuh mereka. Mereka lebih takut kepada maksiat hati lebih dari takut mereka kepada maksiat zahir. Perasaan takabbur, merasa taajjub terhadap diri sendiri, riya’, serta bersangka jahat kepada orang lain adalah di antara maksiat hati yang teramat mereka takuti, justeru mereka tahu bahawa dengan tumbuhnya perasaan-perasan itu, jauhlah mereka daripada Allah, dan segala kerja jihad mereka di dunia ini bakal menjadi debu yang berterbangan di akhirat nanti.

Semoga kitalah generasi kemenangan yang dibicarakan di dalam kertas ini, insya-Allah.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons